Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kami dan dari keburukan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W adalah hamba dan rasul-Nya.
Sesungguhnya sebenar-benar ucapan adalah Kitabullah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah, setiap bid'ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka.

Monday, March 23, 2009

Ikhtilat... Sedarkah Kita?


Diedit dan dikumpul dari: Google


IKHTILAT IKHWAH DAN AKHAWAT

Persoalan mungkin, ikhtilat IKHWAH dan AKHAWAT, Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin-muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.

Perlanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :

1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.
2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.
3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.
4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai. 

Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna-warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol front Islam namun lupa substances Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak fokus pada pemahaman dan amal.

Aktivis sekular tidak lagi segan dengan kita!!! Seorang ustaz bercerita bahawa ada aktivis sekular yang berkata kepadanya, 

“ Ustaz, dulu saya respect pada Islamic student, pakai tudung labuh, berkopiah kerana pandai menjaga pergaulan muslimin-muslimat, namun kini mereka sama saja dengan kami. Kami jadi tak segan lagi.”

Ungkapan aktivis sekular di atas memalukan kita selaku jundi-jundi yang ingin memperjuangkan agama-Nya. Menjaga pergaulan lelaki-perempuan memang bukanlah hal yang mudah kerana fitrah lelaki adalah mencintai wanita dan demikian pula sebaliknya. Hanya dengan keimanan yang kukuh dan mujahadah sajalah yang membuat seseorang dapat istiqomah menjaga batas-batas ini. 


PELANGGARAN BATAS-BATAS PERGAULAN IKHWAH DAN AKHAWAT MASA KINI

1. Tidak Menundukkan Pandangan (Gadhul Bashar)
Bukankah ada pepatah yang mengatakan, “ Dari mana datangnya cinta ? Dari mata turun ke hati”. Maka jangan kita ikuti seruan yang mengatakan, “Ah, tidak perlu gadhul bashar, yang penting kena jaga hati!” Namun, bukanlah menunduk pandangan sehingga terlanggar tiang tapi cukup sekadar kita memastikan pandangan kita terjaga daripada melihat sesuatu yang tidak syarie. Lelaki memandang wanita dengan penuh nafsu dan tidak alah juga wanita yang berkelakuan demikian walau tampil “warak berbungkus”.


2. Couple
Duduk berdua di taman-taman, tepi-tepi malah ada yang lebih licik dengan menggunakan platform rasmi yang bernama ‘meeting’ ditempat2 yang mencurigakan. Walaupun kebanyakan masyarakat pelajar Azhar mahupun masyarakat arab tidak mempedulikan sebegini kerana menganggap ustaz-ustazah yang berduaan ini sedang berdiskusi tentang Islam dan tugas, namun apapun alasannya, maka menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.

3. “Chop awal-awal” Untuk berkahwin
“Bagaimana, ustazah? Tapi tiga tahun lagi baru kita kahwin. Ana takut enti diambil orang.” Akhawat belum tamat belajar sehingga ‘dichop’ seorang ikhwah untuk menikah kerana takut kehilangan, padahal belum pasti hasrat itu akan tercapai. Hal ini sangatlah berisiko dan boleh mendatangkan permusuhan dan perpecahan bukan setakat semasa belajar, malah akan berlanjutan ke tanah air. Bukankah Nabi sallahu Alihi Wasallam sendiri melarang kita daripada ‘chop awal’ atau bertunang terlalu lama. Dengan kata mudah ‘kalau rasa diri sudah berpunya dan serius dalam hubungan, eloklah dipercepatkan urusan akad antara keduanya takut-takut terjerumus kekancah maksiat. Justeru, mana mungkin hubungan suci suami isteri akan terbina kekal di atas timbunan sampah kemaksiatan.’

4. Telefon Tidak ‘Urgent’
Menelefon dan berborak tidak tentu arah yang tidak ada nilainya sama ada soal pengajian mahupun atau soal tugas berpersatuan. Kalau setakat bertanya khabar, bercakap soal hati dan perasaan atau apa sahaja yang bersifat tidak syarie tanpa batas, ana gusar apa akan kita jawab dihadapan Allah nanti. Apa yang lebih malang, kita selaku daei, ulamak dan harapan masyarakat di luar sana sebagai benteng terakhir umat Islam yang membawa mandat besar selaku agen pengubah masyarakat, harus menunjukkan teladan dan nama yang baik dengan mengenepikan sebarang salah laku

5. SMS Tidak ‘Urgent’
Saling berchatting via SMS mengenai hal-hal yang tak ada kaitannya dengan da’wah, sampai tak sedar kredit dah habis. Sudah tiba masanya kita matang dan bermuhasabah dengan kehadiran teknologi yang sudah sekian lama kita nikmati. SMS tidak sepatutnya dijadikan medan melempiaskan nafsu serakah dengan berabang-sayang tapi sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih murni dan berfaedah untuk menempah tiket ke syurga Allah Subhanahu Wataala.

6. Berbicara Mendayu-Dayu
Bercakap sambil tertawa kecil dan terdengar sedikit manja. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perempuan daripada bercakap dengan suara yang mendayu-dayu dan dibuat-buat untuk menarik perhatian lelaki. Jadilah wanita yang bermaruah dengan sedikit bertegas bila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Si lelaki pula. Jadilah mukmin yang ‘gentleman’ dengan menghormati perempuan mukminat. Hormat dalam erti kata menjaga dan memelihara maruah kaum hawa yang bakal menjadi tempat letaknya zuriat kita, penerus generasi beragama masa depan.

7. Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’
YM adalah termasuk satu kemudahan. Tidaklah berdosa bila ingin menyampaikan hal2 penting di sini. Namun menjadi bermasalah bila topik perbicaraan melebar entah kemana dan tidak fokus pada da’wah kerana khalwat secara maya mudah untuk berlaku.


Ikhtilat Ikhwah dan Akhawat..

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau ‘ikhtilat’ di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa.

Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan hariannya dengan kaum Adam. Ini kerana ‘ikhtilat’ yang melanggar batas2 syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di dalam kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.

Jadilah lelaki yamg mampu membela dan memimpin kaum hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama2 memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.

Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, Ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama?. Jangan sampai suatu masa anak cucu kita mentertawakan dan menghukum kita lantaran salah laku yang kita adakan hari ini. Wallahualam.



TIPS BERURUSAN DENGAN BUKAN MAHRAM – SAY NO TO IKHTILAT.. 

1. Elakkan berhubungan dengan bukan mahram. Kalau ada peluang untuk minta bantuan dari nisa' (bagi nisa') dan rijal (bagi rijal), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kudrat kita contohnya apabila nisa' minta bantuan rijal soal baiki latop, kereta dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan nisa'. Silalah mempergunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Begitu jugalah sebaliknya bagi rijal.

2. Andai terpaksa berhubung dengan bukan mahram gunakanlah perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat. Tak perlulah meletakkan ikon senyum yang sememangnya comel. Tak perlu disertakan dengan gelak ketawa seperti huhu, haha, hihi, hikhik. Seolah –olah kanak-kanak tadika mengajar mengeja. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah. Andai terdesak sangat untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama nisa' selari dengan tuntutan Al-Quran: 

"Wahai isteri2 nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu org yang ada penyakit dlm hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yg baik." 

Takkanlah nak tunggu Allah menempelak kita dengan balaNya?

3.Tundukkan hati. Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan mahram kita perlu risaukan kemurkaanNya. Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dariNya supaya dipelihara daripada panahan syaitan.

4.Tundukan pandangan. Jangan tertipu dgn matapelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Teramatlah disarankan demi membina ukhwah yang kukuh. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati". Tak bermakna tundukan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang.

5.Mempercepatkan urusan. Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa peneman anda.


IKHTILAT DENGAN CARA YANG BETUL 

Pada dasarnya, tidak terdapat sebarang hukum bagi pergaulan yang jelas. Meskipun terdapat beberapa pendapat yang mengatakan ianya tidak haram malah harus, namun berdasarkan dalil-dalil yang bakal dikemukakan, adalah jelas bahawa hukumnya adalah tetap haram. Ini juga kerana pandangan ini disokong oleh majoriti ulama fuqaha, dan ahli hadith.

Dalil-Dalil

Pengharaman pergaulan antara lelaki dan perempuan meskipun tidak terdapat satu nas yang qatie (jelas), namun pengharamannya hanya berasaskan kepada hukum lain yang pada asalnya dikhususkan bagi kaum wanita kerana dalam hukum-hukum tersebut terdapat unsur-unsur pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi. Oleh itu, nas-nas tersebut boleh dijadikan sebagai petunjuk pengharaman pergaulan. Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, solat berjemaah di masjid bagi wanita, hukum jihad bagi wanita-wanita, hukum solat Jumaat bagi wanita dan beberapa hukum-hakam yang dikhususkan untuk wanita.

Pemakaian Urf dan Maslahah dalam Penentuan Hukum Pergaulan.

Dalam konteks persoalan berkaitan pergaulan antara lelaki dan perempuan di Malaysia, meskipun hukum asalnya adalah haram seperti mana yang telah dihujahkan sebelum ini [rujuk perbincangan tentang hukum asal pergaulan], namun apabila dilihat dari sudut pendekatan pemakaian uruf masyarakat di Malaysia, ternyata beberapa kelonggaran tetap wujud seiring dengan prinsip iaitu mengambilkira suasana setempat dan semasa di Malaysia. Persoalan yang turut perlu dipertimbangkan contohnya:

Kaum wanita turut keluar mencari rezeki dengan bekerja, malahan wanita di Malaysia kini hampir seimbang dominasi peratusan mereka yang bekerja dengan lelaki

Persoalan tentang pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa belajar. Di universiti, keadaan sama berlaku.


Pengecualian Bagi Hukum Asal

1. Unsur Darurat
Pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan itu daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram. 


2. Apabila Wujud Keperluan atau Hajat

Muamalat Maliyyah (urusan harta)
Perempuan dibenarkan bergaul dengan lelaki dalam urusan yang melibatkan harta seperti jual beli atau lain-lain transaksi. Ini adalah kerana urusan sebegini memerlukan interaksi antara dua pihak sebelum berlaku aqad.

Penyaksian (urusan mahkamah)
Penyaksian wanita diterima syara.Di dalam kes-kes tertentu seperti dalam kes harta dan berkaitan.

Urusan kerja
Wanita diharuskan keluar rumah untuk bekerja dengan izin suami atau penjaganya. Urusan kerja kebiasaannya melibatkan pergaulan wanita dengan lelaki. Tambahan pula bilangan tempat kerja yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan secara total amat terhad.

Melayani tetamu
Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.

Keperluan lain yang tidak bertentangan dengan syariat
Oleh itu pergaulan yang berlaku contohnya dalam kenderaan awam dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada syarat perempuan itu keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak syarie seperti untuk berpoya-poya. Ia mestilah bertujuan syarie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya. Begitu juga keadaannya jika seseorang wanita perlu ke tempat-tempat awam seperti stesen bas, keretapi, pasaraya dan sebagainya.

3. Pergaulan menurut kebiasaan adat dalam majlis-majlis
Pergaulan antara lelaki dan perempuan di dalam majlis-majlis keramaian yang tidak bertentangan dengan syarak seperti kenduri kendara atau majlis-majlis keraian, ziarah keluarga atau jiran serta sahabat, melayan tetamu dan sebagainya dibolehkan.

4. Pergaulan semasa belajar
Umum mengetahui bahawa situasi keadaan di Malaysia di mana semua rakyatnya berhak untuk mendapatkan pendidikan. Walaubagaimanapun, mungkin timbul dalam usaha menuntut ilmu ini, persoalan tentang pergaulan yang mungkin wujud semasa proses pembelajaran tersebut. Sebagai pelajar sudah tentu akan wujud bentuk komunikasi antara rakan sekelas seperti bertanya soalan, study group dan tugasan secara berkumpulan dan sebagainya. Semua ini jelas menunjukkan betapa pergaulan tidak dapat dielakkan semasa proses pembelajaran.

Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan harian mereka dengan kaum Adam. Ini kerana 'ikhtilat' yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.

Nah, masuk akal jika kita katakan perempuan yang dilebihkan oleh Allah dalam soal menjaga maruah dan harga diri sepatutnya lebih peka dan sensitif dengan masalah ini. Namun ini tidak bermakna lelaki boleh berbuat sesuka hati. Selaku lelaki yang sifatnya dikuatkan oleh Allah dalam segala hal, sepatutnya tidak terjerlus ke lembah becak kemaksiatan.

Jadilah lelaki yang mampu membela dan memimpin kaum Hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama-sama memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.

Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama? 


BEZA ANTARA IKHTILAT DAN KHALWAT

1. IKHTILAT

- Seorang lelaki & seorang perempuan berada bersama di tempat terbuka.
Cth : Di pasar/bank/sekolah @ tempat awam semasa berurusan.

- 2 atau lebih lelaki dan perempuan berada bersama dan tidak berniat untuk berkhalwat walaupun berada di tempat tertutup atau sunyi
Cth : Bermesyuarat dlm bilik khusus,belajar di kelas/dewan kuliah. 


2. KHALWAT

- Seorang lelaki dan perempuan berada bersama di tempat tertutup/sunyi.

Cth : Sudah sedia maklum dah...... Dlm bilik/hotel berdua2an.

- 2 atau lebih lelaki dan perempuan berada bersama dan berniat untuk melakukan khalwat ditempat tertutup/sunyi.

Cth : Sekumpulan lelaki & perempuan berpakat berkhalwat dalam dewan tertutup walaupun dalam jumlah yg ramai.


"Lalu apa yang telah aku lakukan selama ini... Ya Rabb... Tolong ampuni aku... Untuk setiap pandangan yang tak terjaga, lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab... Ya Rabb... Engkau mengawasi kami tiap detik, karena kasih sayangMu kepada kami Engkau perintahkan malaikat silih berganti menemani kami siang dan malam..." 

“ Elakkanlah berhubung tanpa urusan yang benar-benar penting dengan wanita2 (berlawanan jantina) kerana di situlah letaknya jalan SYAITAN..”

Friday, March 20, 2009

Kasih Iman Nur Mujahadah Di Kaabah


Nukilan: Raudhatul Ilmi

Suasana dingin yang mencengkam tubuhnya sejak 2 jam tadi serasa bagaikan menggigit hingga ke tulang hitam. Kurung biasa dan tudung litup yang membalut tubuhnya tidak mampu untuk mengurangkan kedinginan. Hampir 2 jam dia bertapa di dalam bilik belajar 24 jam Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini. Selesa walaupun kadangkala kekusyukannya setiap terjejas lantaran ada pelajar yang tidak “mendiamkan” handphone mereka. Dia selesa mengunjungi PSB pada waktu-waktu pagi dan juga petang kerana tika ini tidak ramai pelajar yang sanggup untuk menghabiskan masa di PSB, masa-masa sebegini lebih sesuai untuk beradu di atas katil asrama.

“Assalamualaikum Ilmi…”, dia mendongak seraya membalas salam teman baiknya itu, Iman Nurmujahadah.

“Adah pun study jugak ker?”, hairan dia melihatkan wajah sugul teman nan satu ini.

“Erm… Adah cari bahan…”.

“Adah cari bahan ker cari orang?” akal nakal Raudhatul Ilmi mula memainkan peranannya diikuti dengan kenyitan mata.

“Ilmi..”, pantas jemari runcing itu mencari sasaran.

“Dia tak dak la Ilmi… Erm, Adah lapaq la jom pi makan..Jom la..”, bagai budak kecil Iman Nurmujahadah merengek pada teman baiknya, sebenarnya dia tidak ingin terus menjadi bahan usikan Raudhatul Ilmi lagi…

“Yelah tue…jab Ilmi nak kemas”, tak sampai hati rasanya untuk menghampakan harapan sahabat ni.


**********************************************************************************************************

Dia sukakan akhlak yang ditunjukkan oleh muslimin itu. Dia bukanlah seorang yang begitu mudah untuk jatuh hati. Malah, perkara inilah yang seringkali cuba dielakkan sepanjang usianya hampir 23 tahun. Bukan menolak jodoh tetapi dia masih terikat dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin pada ibu dan abahnya. Dia masih belum bersedia lagipun rahsia hatinya biarlah hanya Dia yang tahu…jangan memberikan harapan kepada insane sedangkan kita sendiri masih mencari-cari harapan untuk meneruskan perjuangan di bumi Allah ini.

Tetapi kini…Pertemuan pertamanya semasa menghadiri Kursus Pengurusan Organisasi JPPK tidak lama dahulu masih berbekas di hatinya. Alunan ayat-ayat suci kalamullah yang dibacakan semasa qiammulail masih terngiang-ngiang lagi… Mengusik nurani kewanitaannya…Dia terhutang budi dan nyawa pada Najmi Haqimie.

Najmi Haqimie, itulah nama yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Namun, rahsia ini disimpan sekejab mungkin hanya pada raudhatul Ilmi sahaja dicurahkan rahsia hati ini. Kesopanan dan ketertiban Najmi Haqimie dalam menjalinkan ikhwah dihormati. Kepimpinannya dalam meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dikagumi. Aduhai, itulah anugerah Ilahi buat insane yang bernama Najmi Haqimie. Puas sudah dia berdoa agar nama dan ingatan terhadap muslimin pilihan itu dilupuskan daripada kanvas hatinya. Tadahan doa dan solat hajat terusan dilakukan. Namun ingatan nuraninya semakin kuat. Apakah ini ketentuan Ilahi? Ahh, tidak..Mungkin ia hanya mainan syaitan laknatullah yang cuba untuk menipiskan iman di hatinya…

Dia sedar saingannya terlalu hebat. Ukhtie Najihah, graduan diploma Pengajian Islam KIPSAS yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi juga khabarnya menaruh hati pada Najmi Haqimie, lagi, Umi Farhana, hafizah Maahad Tahfiz Derga alor Setar, penuntut tahun 2 jurusan Pendidikan juga merisik ruang kosong di hati Iman Haqimie. Dia apa yang dia ada..? Hanya mimpi dan doa… atas satu sebab yang kukuh yang hanya dia dan Ilahi tahu mengapa dia berusaha bersungguh untuk melupakan adam itu. Lantaran itu, dia lebih senang untuk mendiamkan diri. 


*********************************************************************************************************

Pertanyaan Ustaz Shamsuri mengenai masa depannya masih menjadi persoalan. Ya Allah, rupanya desas desus mengenai beberapa siswi yang merisik khabar dia daripada ustaz-ustaz di Pusat Islam terbukti ada benarnya, bukan sekadar usikan rafik-rafiknya. Siapalah dia? Dia hanyalah insane biasa, serba kekurangan. Dia sendiri masih terkapai-kapai mencari jalan keredhaan biarpun sudah terang disuluh ilmu yang dicari. Amanah Ilahi bukanlah suatu yang main-main.

“Enta, ana ni sekadar nak menyampaikan hasrat orang,” tenang sekali bicara Ustaz Shamsuri, lulusan Jordan berusia 35 tahun itu.

“Ada yang bertanya khabar. Memilih enta sebagai peneman hidup pembimbingnya menuju ke jalan Ilahi. Kalau enta sudah mempunyai calon, beritahulah, kalau belum cuba-cubalah pertimbangkan hal ini,”.

Bertemankan Syaiful Syahid, dia menunaikan juga janji untuk bertemu dengan ustaz yang dia hormati itu setelah diberitahu oleh seorang teman melalui sms. Rupanya ini yang ingin dibincangkan. Aduh, bersediakan dia…?

“Tak sangka pulak aku,siapalah agaknya yang menjadi Siti Khadijah ke2 nie. Beraninya dia…,” kagum Syaiful Syahid dengan tindakan muslimat itu. Seakan menyamai dan mungkin boleh dikatakan bahawa dia mencontohi kisah Siti Khadijah r.a yang meminang Rasulullah saw.

Jarang terjadi dalam sejarah mereka, muslimat membait muslimin. Selalunya muslimin yang akan menggunakan ustaz-ustaz di Pusat Islam, Darul Syifa’ untuk merisik seterusnya taqdim muslimat terpilih di hati. Lain pulak dengan kisah sahabat baiknya yang sorang nie. Syaiful Syahid tersenyum.

“Wallahualam..tak tahu lah..dalam ramai mengapa mesti Qimie…masalah-masalah...,” Syahid hanya mampu menggelengkan kepalanya.


********************************************************************************************************

Pening kepalanya… Khabar yang disampaikan Amal Hayati mengenai fitnah yang terjadi ke atasnya sudah menjadi berita sensasi. Pada Raudhatul Ilmi, dia titiskan air mata… ya Allah, , mengapa semua ini terjadi. Dia dikatakan perempuan yang tak tahu malu, perigi buta yang mencari timba…macam-macam tohmahan dilemparkan padanya..

“Sabarlah Adah, biar Allah sahaja yang membalas perbuatan mereka ini,” simpati Raudhatul Ilmi tercurah pada sahabat baiknya ini. Entahla siapa yang menyebarkan fitnah kononnya Iman Nurmujahadah telah merisik Najmi Haqimie. Kononnya lagi…mereka pernah ternampak Iman Nurmujahadah berbual mesra dengan Ustaz Shamsuri. Paling teruk, mereka mengaitkan kisah pertolongan Najmi Haqimie kepada Iman Nurmujahadah semasa gadis itu terkapai-kapai terjatuh di dalam kolam semasa menjalankan aktiviti kayak, peristiwa yang terjadi semasa kursus KPO sedikit masa lalu. Tak tahukah mereka bahawa dosa fitnah itu lebih buruk daripada zina…masyaAllah..getus hati Raudhatul Ilmi. Sayu dia memandang wajah sugul Iman Nurmujahadah. Sabarlah sayang, ada rahmat di sebalik semua ini.

Patutla, semalam semasa usrah, ramai muslimat yang berbisik sesame mereka. Paling menyakitkan hatinya, sahabatnya itu dikatakan sengaja memancing perhatian Ustaz Shamsuri untuk memudahkan laluan memikat Najmi Haqimie. Bukan itu sahaja, Iman Nurmujahadah juga dipulaukan oleh ahli usrah yang kebanyakkannya menyokong seandainya Umi Farhana yang menjadi suri hati Najmi Haqimie.

Ya Allah, Kau berilah kekuatan pada sahabatmu itu…doa Raudhatul Ilmi.


********************************************************************************************************

Semalam berpampasan dengan Najmi Haqimie dan Syaiful Syahid, terasa ada pandangan sinis Syaiful Syahid, manakala Najmi Haqimie hanya tersenyum. Riak ketenangan masih berbekas pada wajah pemuda berusia 24 tahun itu. Kalaulah kau tahu getarnya di hati ini.

Dia tidak bersalah,apa yang perlu dimalukan. Ahh, pedulikan…Allah itu Maha Adil. Itu janji Dia. Kata-kata semangat yang Raudhatul Ilmi pasakan pada hatinya masih tersemat, dia takkan goyah..betul juga tu, mungkin dia insane terpilih oleh Ilahi untuk menguji sejauh mana ketaqwaan dia menghadapi mehnah ini. Sedangkan Rasulullah sendiri pernah menerima fitnah yang lagi hebat, inikan pula dia. Takkan hanya kerana acahan sekecil ini dia akan mudah untuk melatah..Tidak!!!

Setiap malam dia akan bersolat hajat, mohon diberikan ketenangan, diberikan petunjuk agar dia akan tabah dalam mengharungi segalanya. Qalam suci itu tak pernah sunyi daripada amalan dia. Zikir, tahmid dan tasbih bagaikan sudah sudah sebati…benarlah, setiap yang berlaku ada rahmat yang tersembunyi disebaliknya. Syukurlah…dia takkan menyalahkan sesekali taqdir atas apa yang terjadi.


**********************************************************************************************************

Benarkah tindakannya ini..Moga apa yang dia lakukan adalah benar..

“Enti, ana minta maaf..Cuma ana rasa enti janganlah berharap pada sesuatu yang tak pasti. Ana minta enti tolonglah ana, fitnah telah tersebar. Ana takut ana tak tahan sabar. Tolonglah, lupakan ana. Ana tak nak amal ana terganggu dengan semua ini, lagipun ana rasa sebagai seorang perempuan ana memaklumi aqal 1 nafsu 9,”.

Ya Allah, apakah benar apa yang dia dengar ini. Terluah daripada mulut muslimin yang selama ini mencuri hatinya. Dia menuduh seolah-olah aku… Ya Allah, mengapa terjadi semua ini. Sekali lagi, ketabahan dia diacah mehnah.

“tentang Ustaz Shamsuri biarlah ana yang jelaskan padanya. Enti janganlah risau. Cuma kalau boleh janganlah dicanangkan peristiwa pertolongan ana pada enti semasa kursus hari tu. Kalau orang lain pun, ana yakin mereka mesti akan mengambil jalan yang sama jugak.”

Laju lidah itu menuturkan bicara tanpa sedar ia telah melukakan hati seorang gadis.

masyaAllah …berilah kekuatan untukku..Iman Nurmujahadah memohon dalam diam.


*********************************************************************************************************

Itulah langkah nekad Najmi haqimie, maafkan ana Iman Nurmujahadah.. Ana dah tak sanggup untuk menghadapi semua ini. Berbekalkan semangat dan keyakinan dia mengatur pertemuan dengan gadis itu, walaupun debar di dada hanya Tuhan yang tahu.

Dia tahu dia telah melukakan hati gadis itu, tapi dia sendiri bingung…fitnah itu seolah-olah mempermainkan kisah dia dengan gadis itu. Ketika berbicara tadi, dia tahu dia seolah-olah tidak memberikan peluang untuk gadis itu membela diri. Zalimkah dia? Entah lah dia sendiri pun tidak pasti.

Lama dia berteleku di atas sejadah, menyelak qalam mulia itu, memuliakannya…moga hatinya akan menjadi tenang setenang air di kali.


********************************************************************************************************

“Enta, ana mintak maaf atas apa yang telah terjadi. Kalau lah ana berterus terang tentu semua ini takkan terjadi. Ana betul-betul tak sangka,” terluah juga akhirnya penyesalan daripada Ustaz Shamsuri. Fitnah tentang Najmi Haqimie bertiup kencang dan dia tahu salah dia. Kesian Iman Nurmujahadah…dia tidak bersalah.

“Tak pa lah Ustaz, ana dah selesaikan dengan muslimat tersebut, Cuma ana rasa peristiwa yang terjadi ini sedikit sebanyak mengoncang kesabaran ana…Ana terpaksa bersemuka juga walaupun ana tahu muslimat itu mungkin terkejut dan terluka. Tapi, ana rasa itulah jalan yang terbaik untuk kami berdua.”

“Maksud enta, Iman Nurmujahadah?”

“Na’am ustaz kenapa?” aneh. Bukankah dia yang…

“Ya Allah, enta dah salah orang…,” ustaz Shamsuri melepaskan satu keluhan yang maha berat.

“Sebenarnya bukan dia yang meminta ana menyampaikan hasrat itu. Orang lain tapi, semenjak peristiwa itu terjadi, muslimat berkenaan telah meminta pada ana untuk menjelaskan kepada enta, ukhtie tersebut telah pun menerima lamaran melalui keluarganya.mungkin jodohnya bukan dengan enta…”

Bunyi ketukan lembut pada pintu menyentak kedua-dua mereka. Daun pintu yang terbuka menyerlahkan wajah tenang dan susuk tubuh seorang gadis berjubah ungu.

“Assalamualaikum…abang long…”,

Mata mereka bertembung, Ya Allah apakah benar apa yang dia dengar ini.

“Inilah adik kandung ana, Iman Nurmujahadah,”


********************************************************************************************************

Kebenaran telah terbukti, rupanya Iman Nurmujahadah adalah adik kandung berlainan ibu pada Ustaz Shamsuri, patutlah ada yang pernah menyampaikan tentang kemesraan kedua beradik itu.

Kebenaran tentang fitnah itu juga sudah terjawab. Dia sendiri tidak pasti apakah perasaan dia sekarang. Masih terngiang lagi bicara manis, lembut tapi penuh hikmah terluncur daripada bibir Iman Nurmujahadah.

“Aqal yang sembilan masih belum mampu untuk menilai antara kebenaran dan kebatilan. Walaupun aqal yang satu namun, yakinilah bahawa yang satulah yang akan mengatakan kebenaran melalui aqalnya.”

MasyaAllah…benar aqal sembilannya itu masih belum mampu untuk membantu dia menilai erti ketulusan dan kejujuran seorang insan. Apa butakah dia, semasa liqa’ dengan gadis itu, tak terlihatkah dia akan cahaya kejujuran pada wajah gadis itu…Ya Allah…


********************************************************************************************************

Cuti semester telah pun bermula, sudah sebulan peristiwa hitam berlalu. Yang menyebarkan fitnah itu sudah mengaku akan kesalahannya, dia sedia memaafkan semua nya. Bukankah kemaafan itu lebih baik daripada saling bermasam muka. Sesungguhnya Islam itu terlalu indah…

Sebentar tadi pramugari MAS datang menghulurkan minuman fresh oren padanya. Ajakan abangnya, Ustaz Shamsuri untuk menunaikan umrah diterima dengan senang hati. Baru sebentar tadi, Raudhatul Ilmi datang menghantarnya. Ada rahsia yang diserahkan pada Raudhatul Ilmi, mohon disampaikan pada yang berkenaan. Pada Raudhatul Ilmi, sahabat baiknya dia memohon agar dihalalkan segalanya. Entah kenapa, hatinya terlalu gembira untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. 


*********************************************************************************************************

Ya Allah, mengapa wajah itu yang muncul dalam mimpinya? Ya Allah..sudah 3 hari hanya wajah itu yang hadir…Berita tentang keberangkatan gadis itu bersama keluarganya ke Tanah Suci sudah diterima, namun terasa sayu melepaskan gadis itu pergi… Dan pada 3 malam yang lepas, dia bermimpi gadis itu datang dengan wajah yang paling tenang paling manis dengan telekung putih…seolah-olah ingin menjengah satu kerinduan.

Apakah dia jodohku? Ya Allah, hatinya kuat menyatakan bahawa benarlah bahawa itulah yang disediakan untuknya. Calon permaisuri hatinya. Rindunya pada gadis itu tidak terucap. Dia akan setia menantikan kepulangan gadis itu, akan dicurahkan rahsia hatinya kerana dia yakin bahawa itulah gadis pilihannya. Dia tersenyum..membina cita-cita. Ketegasan gadis itu ketika pertemuan di kamar kerja Ustaz Shamsuri menarik hatinya. Butakah dia selama ini? Ya, Allah berilah peluang…


*******************************************************************************************************

Ya Allah, apakah benar berita ini? Janganlah kiranya semua ini terjadi… masih terngiang-ngiang bicara Iman Nurmujahadah padanya semasa dia wida’ gadis itu bersama keluarganya ke Tanah Suci.

“Ilmi, Adah mohon maaf kat Ilmi. Halalkan makan minum Adah, ilmu yang Ilmi kongsikan dengan Adah…Ada peluang Adah ingin meninggal di sana..Bersama-sama dengan para syuhada’ dan syahidah.”

Ya Allah…perkhabaran yang disampaikan oleh keluarga Ustaz Shamsuri sebentar tadi benar-benar menjadikan dia tidak keruan. Serasa bagai semalam Iman Nurmujahadah tersenyum padanya…Bicara gadis itu masih terdengar-dengar lagi.

Tak mungkin, hampir dia rebah tatkala menerima berita itu. Mujurlah pada abah dia berpaut..

Iman Nurmujahadah sudah kembali ke rahmatullah. Hasrat dia untuk bersama-sama sanjungan agama tercapai… Iman Nurmujahadah sudah meninggalkan diri. Dia meninggal kerana sakit barah otak, yang dirahsiakan. Ya, Allah…betapa kuatnya semangatmu wahai sahabat. Mengapa tinggalkan Ilmi… airmata yang dialirkan tidak mampu untuk mengubah ketentuan yang sudah pasti…


*******************************************************************************************************

Terasa bagai diawangan ketika Raudhatul Ilmi menyampaikan berita itu. Gelap pandangannya…Dia memerhati dengan pandangan kosong. Iman Nurmujahadahnya, sudah pergi tinggalkan segala angan-angan indah yang telah diukirkan pada kanvas impian. Bungkusan yang diserahkan padanya oleh Raudhatul Ilmi masih di dalam gengaman. Benarkah?

Ya Allah, berikan daku ketabahan…

Sehelai jubah putih dan kitab suci kiriman pertama dan terakhir daripada Allahyarhamah Iman Nurmujahadah dijamah dengan pandangan sayu.

Apakah kehadiranmu dalam mimpiku sekadar untuk mengucapkan selamat tinggal? Mengapa aku terlewat untuk menilai erti kasihmu…

Surat yang menceritakan rahsia dan kisah kasih seorang gadis mengungkap segala rahsia..

Bismillah…

Assalamualaikum…

Buat pejuang di jalan Ilahi…

Semoga enta sentiada di dalam rahmat Ilahi. Tatkala warkah ini sampai kepadamu, mungkin hanya nama Iman Nurmujahadah menjadi tatapan. Mengasihi enta dalam diam adalah rahsia kasih ana. Namun, badai gelombang yang melanda seolah-olah menguji keyakinan kasih ana pada enta…Seandainya ada jodoh kita, ana mohon semoga kita dipertemukan di sana biarpun bukan sebagai suami isteri. Ana hargai budi baik enta, ana doakan enta berjumpa jodoh yang sekufu…Ini doa ana di depan Kaabah.andai kita tidak ditakdirkan untuk berjumpa lagi, ana tidak ralat kerana mengisihi enta walaupun dalam diam ialah yang membawa ana mengenal cinta agung, cinta Ilahi. Akhirul qalam, semua enta akan berjaya dunia dan akhirat.

Hanya Tuhan Yang Tahu…

Srikandi Cinta Ilahi…

Iman NurMujahadah binti Abdul Razak. 


Nukilan:

Raudhatul Ilmi

Natures04@friendship.

Dedicated to: Ainulnajwa dan Zueha