Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kami dan dari keburukan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W adalah hamba dan rasul-Nya.
Sesungguhnya sebenar-benar ucapan adalah Kitabullah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah, setiap bid'ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka.

Monday, May 18, 2009

Jodoh Kita Bila?? Hmmm.......



Tiba-tiba, saya teringat akan pertanyaan sorang kawan bulan lepas.. Sebelum cuti semester. Waktu tu masih petang, saje tengah rehat dalam bilik. Seingat saya, dia bertanyakan saya mengenai jodoh kawan-kawan kami yang dah sampai lebih awal. Pertanyaanya lebih kurang macam ni la: 

"Farhah, bila jodoh kita ek? Kawan-kawan kita dah dua tiga orang dah.." 
(Hehe.. Kawan saya yang sebaya dah lebih dari 5 orang yang kahwin.. Baru 21 ye skarang?) 

Gambar kat sebelah ni pun kawan saya gak. Kak Teh Faridah, baru melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun lepas. Cantik kan?

Ok la, Bila kawan saya tanya tu, saya pun terfikir.. 
"Hmmm.. Entah la... Layak ke? Bersedia ke? Dah cukup matang dan bersedia ke nak jadi isteri solehah? Dah sedia nak jadi ibu? Sikap aku macam mana ek? Ish... Tak boleh jadi ni......."
Daripada situ, saya sedar, then saya kata kat dia. 

"Rasa-rasanya, kita layak ke? Aku rasa, kita masih tak layak kot.. Mungkin belum bersedia. Banyak lagi yang kena tengok balik kalau nak kahwin ni. Banyak tanggungjawab. Hang pun tau, kan? Bukanlah sekadar nak menghalalkan hubungan semata-mata..Cuba tengok kawan-kawan yang dah kahwin @ baru rancang nak kahwin cuti ni. Sikap diorang ada macam kita tak? Tengok pembawaan diri diorang macam mana?" 

"Hmmmm... Maksud hang?"

"Ye la, diorang nampak serius kan? Bukan macam kita. Sikit-sikit gelak, suka main-main, tak ambik serius.. Betul ke kita memikirkan soal tanggungjawab? Kebanyakan kita mungkin rasa kita dah sedia sedangkan pada hakikatnya tak.. Cuba renungkan balik dalam-dalam.. Aku rasa, kalau seseorang tu betul-betul bersedia mendirikan rumahtangga, dia takkan ada masa nak main-main selalu.. Dia sibuk dengan usaha memperbaiki dan mentarbiyyah diri untuk menerima tanggunjawab baru. Hidup dia ada fokus yang lebih utama yang perlu dia bagi tumpuan sebab rumahtangga bukanlah semudah yang disangka, ye tak? Banyak perkara dan banyak juga hati yang perlu kita jaga.." 

"Betul.. betul! Tu la kan... Hmm.. Aku ni, tah macmn la yea?" 

Hehe... Entahlah, kadang-kadang buntu juga memikirkan persoalan hati dan perasaan ni.. Namun, kepada sahabat-sahabat yang sedang bercinta, sedarlah bahawa perkahwinan adalah yang terbaik buat kalian. Kerana itulah sebaik-baik jalan bagi seorang lelaki dan wanita. 


Apapan, saya mendoakan yang terbaik untuk semua. Semoga bahagia dan menemui pasangan yang soleh @ solehah. Dan 1 lagi.... Tak lupa juga kpd 5 orang sahabat yang akan menjadi raja sehari pada cuti semester ni, Kak Siti Rogayah (30hb Mei 2009) dan Husnil (31hb Mei 2009). 

Dan juga kepada Adi Syahid, Kak Siti Mariam dan Kak Radieah (Yang 3 orang sahabat ni saya dapat tahu daripada sahabat yang lain je.. Tak nak jemput ke? Hehe..) Tahniah atas pernikahan antum dan semoga ALLAH S.W.T melimpahkan kebahagiaan pada rumahtangga yang dibina... =) 

Wallahua'lam... 

Saturday, May 9, 2009

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Tajdid?



Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah


Tajdid berakar umbi daripada sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dimana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya.

Hadis yang ringkas ini memiliki tujuan dan maksud yang luas. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah, dalam mengupas hadis di atas, menyebut tujuannya sebagai:

“Hadis ini bertujuan membangkitkan rasa optimis pada jiwa kaum muslimin, bahawa agamanya tidak akan pernah mati, bahawa dalam setiap masa tertentu Allah akan mengutuskan orang yang mentajdidkan agama-Nya dan menghidupkan syari’at-Nya.”

Ungkapan “awal seratus tahun” dijelaskan oleh beliau sebagai:

“Ada pun yang dimaksudkan dengan ‘awal seratus tahun’ bukanlah ‘tahun seratus’ atau ‘seratus satu’, tetapi masa-masa terakhir setiap abad dan masa-masa awal dari abad yang berikutnya. Bahkan sebenarnya kita tidak mampu memastikan apakah yang dimaksudkan ialah tahun Hijriyah, tahun dari wafatnya Rasulullah atau tahun pengutusan baginda, sebagaimana yang akan kami jelaskan. Yang penting Allah tidak akan membiarkan umat ini tanpa ada orang yang membangunkan dari tidurnya atau yang menyatukan umat ini dari kehancurannya yang remuk redam.”

Siapakah pentajdid yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Syaikh al-Qaradhawi menjelaskannya:

“Perkataan “man” pada hadis di atas boleh digunakan untuk jamak (plural) kerana asal kedudukan perkataan “man” berlaku untuk kedua-duanya (singular and plural). Hal ini terbukti dalam al-Qur’an:


Dan sesiapa yang mengerjakan amal shalih, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga.

Setelah anda mengetahui hal ini, maka seorang pentajdid boleh terdiri daripada satu orang yang Allah bangkitkan untuk mentajdid agama, seperti Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz. Adakalanya pentajdid itu lebih dari satu orang, seperti dalam bentuk jamaah, madrasah (pemikiran) atau harakah (gerakan), baik dalam bidang fikrah, tarbiyah mahu pun jihad dimana para aktivisnya saling berwasiat dengan hak dan kesabaran serta saling tolong menolong dalam kebajikan dan taqwa.


Boleh jadi pentajdid itu sifatnya individual atau berkelompok yang berbeza-beza sesuai dengan bidang dan kepakaran (masing-masing). Misalnya, yang pertama dalam bidang ilmu dan fikrah, sedang yang kedua dalam bidang tarbiyah. Yang ketiga dalam bidang politik dan kenegaraan, yang keempat dalam bidang sosial masyarakat dan yang kelima dalam bidang jihad dan dakwah, demikianlah seterusnya. Bidang dan caranya berbeza, namun prinsip dan sasaran adalah satu.

Maka disini saya (ingin mengambil kesempatan) mengingatkan kepada mereka yang aktif berjuang untuk Islam, baik secara individual atau berkelompok, tentang satu hal yang patut disedari: Bahawa perbezaan manhaj dalam beramal untuk Islam dan banyaknya jamaah dalam rangka melakukan usaha tajdid bukanlah satu penyakit atau hal yang dicela di sisi Allah dan orang-orang yang beriman, selagi mana perbezaan tersebut bersifat kepelbagaian dan bukannya bersifat permusuhan dan perpecahan.”

Akhirnya, maksud tajdid dijelaskan oleh beliau sebagai:


“Mentajdid sesuatu bererti upaya mengembalikannya kepada keadaan asal sehingga ia tampil seakan-akan barang yang baru. Ini dilakukan dengan cara memperkokoh sesuatu yang lemah, memperbaiki sesuatu yang usang dan menampal sesuatu yang retak sehingga kembali mendekati bentuknya yang pertama. Dengan kata lain, tajdid tidak bererti merombak bentuk yang pertama atau menggantikannya dengan yang baru."

Agar lebih jelas lagi, kami berikan contoh yang kukuh: Apabila kita ingin mentajdid sebuah bangunan tua, kita membiarkan asas, ciri-ciri, bentuk dan sifat bangunan tersebut. Kita hanya memperbaiki apa yang rosak, menghias, menampal dan memperindah bahagian yang usang. Jadi bukan menghancurkan bangunan tersebut dan diganti dengan bangunan baru yang berbeza.

Demikian pula dengan upaya mentajdid agama, bukan bermakna merubah agama tetapi mengembalikannya menjadi seperti dalam era Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat dan tabi’in (radhiallahu ‘anhum).”

Tajdid tidak sekadar mengembalikan agama Islam kepada keadaannya yang pertama lagi tulen, tetapi juga mengembalikan komitmen umat kepada Islam yang pertama lagi tulen.

Ustaz Maszlee Malik dan Hamidah Mat melanjutkan:
“Tajdid membawa maksud suatu pembaharuan untuk membangkitkan komitmen umat terhadap Islam dalam bentuknya yang kudus dan bersih. Ia adalah satu proses pembaikan atau pun suatu perubahan yang bertujuan membawa umat kembali kepada keaslian Islam yang utuh. Maksudnya, tajdid adalah berkaitan usaha mengembalikan sikap dan pengamalan umat Islam kepada ajaran Islam itu sendiri dan bukannya menggantikan Islam dengan ajaran yang baru kerana (konon) tidak sesuai dengan zaman.”


Apabila berinteraksi dengan tajdid, umat Islam di Malaysia terbahagi kepada beberapa kategori:




Pertama: Mereka yang berkata tajdid adalah tidak perlu kerana beranggapan Islam di Malaysia masih dalam keadaan yang pertama lagi tulen. Maka mereka menghalang usaha mentajdid dan meremehkan para pentajdid.


Ini adalah sikap yang tidak benar kerana sesiapa yang sahaja yang melakukan kajian terhadap Islam di Malaysia dan pengamalannya oleh rakyat Malaysia pasti akan menemui bahawa sebahagian daripadanya berada dalam keadaan yang pertama lagi tulen manakala sebahagian lagi berada dalam keadaan yang bercampur aduk dengan pelbagai unsur pencemaran seperti tradisi masyarakat, ajaran daripada agama lain dan tokok tambah individu tertentu.


Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi meluas kepada negara-negara yang lain. Perkara ini bukan sahaja berlaku pada masa kini tetapi bermula sejak wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Oleh kerana itulah baginda bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya”, menunjukkan bahawa pencemaran agama adalah sesuatu yang benar-benar akan berlaku dan usaha tajdid adalah perlu untuk membersihkan pencemaran tersebut.




Kedua: Mereka yang beranggapan tajdid adalah usaha mengubah-suai agama dari sudut pemikiran dan amalan agar ia sesuai dengan kehendak manusia dan peredaran zaman. Dari sudut pemikiran, mereka cuba untuk membuka tafsiran agama dan menjadikannya hamba kepada peradaban kini (liberalisme). Ada pula yang menganggap azab kubur, penurunan Nabi Isa pada akhir zaman dan wanita yang menutupi auratnya adalah punca kemunduran umat, lalu ia perlu ditolak daripada pegangan umat Islam.[8] Dari sudut amalan, mereka menambah ibadah tertentu dan mengurangkan ibadah yang lain. Usaha-usaha sebegini tidak disebut sebagai tajdid tetapi disebut sebagai bid’ah.


Bid’ah, sama ada dari sudut pemikiran atau amalan, merupakan salah satu kemungkaran yang amat berbahaya kepada agama Islam dan umatnya. Oleh kerana itulah Allah dan Rasul-Nya memberi larangan keras kepada para pencipta bid’ah dan para pengamalnya.




Ketiga: Mereka yang beranggapan tajdid adalah usaha kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja. Maka dalam usaha tajdid tersebut, mereka menyisihkan khazanah peninggalan para ulama seperti kitab-kitab tafsir, syarahan hadis, fiqh dan sebagainya.
Ini adalah sikap yang tidak benar kerana khazanah para ulama’ merupakan jambatan yang menghubungkan seseorang itu kepada kefahaman yang tepat kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanpa jambatan tersebut, seseorang itu akan tenggelam ke lautan yang dalam.


Memang, para ulama’ tersebut tidak maksum. Namun, mereka yang menyisihkan khazanah para ulama’ juga tidak maksum, bahkan jauh lebih tidak maksum. Oleh itu para ulama’ memang ada melakukan kesilapan, namun ia dalam kekerapan yang amat kecil. Berbeza dengan mereka yang bukan ulama’, mereka akan membuat kesilapan dan ia dalam kekerapan yang amat besar.




Keempat: Mereka yang melakukan usaha tajdid dengan cara tashfiyah (التصفية) dan tarbiyah (التربية). Tashfiyah bermaksud usaha memurnikan agama Islam daripada pelbagai pencemaran yang telah sekian lama melekat kepadanya. Manakala tarbiyah bermaksud mendidik umat kepada agama Islam yang telah dimurnikan, hasil daripada usaha tashfiyah di atas.


Ini adalah sikap yang benar. Memandangkan umat Islam di Malaysia berada dalam keadaan yang agak jauh daripada Islam yang pertama lagi tulen, maka manhaj tashfiyah dan tarbiyah hendaklah dijadikan kaedah utama dalam usaha tajdid. Seterusnya manhaj mencela, menghukum dan memulau (boycott) hendaklah ditinggalkan kerana ia tidak menghasilkan manfaat yang diingini, sebaliknya mengekal atau menjauhkan lagi Islam di Malaysia dan umatnya daripada agama yang pertama lagi tulen.
 


Petikan daripada Artikel HAFIZ FIRDAUS.COM
(http://hafizfirdaus.com/content/view/143/80/1/1/)

Thursday, May 7, 2009

Ehem, Gambar Muslimahkah ini?


Dipetik dari:  Blog WEWR ~Khabar Dari Urdun~

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.

Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!


MUSLIMAH DAN GAMBAR : ADA APA DENGANNYA?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum? Muslimahku, Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari.
Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-nur:

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.”

Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.
Muslimahku, Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda…

Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!


PENYELESAIANNYA…

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu?

Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah? Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu.

Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah.

Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja...Wallahu A’lam..
Wanita solehah, Itulah sebaik-baik hiasan...

S e l a m a t   B e r m u j a h a d a h