Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kami dan dari keburukan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W adalah hamba dan rasul-Nya.
Sesungguhnya sebenar-benar ucapan adalah Kitabullah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah, setiap bid'ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka.

Thursday, December 23, 2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Lelaki melebihi wanita..

Tarikh : 22 Disember 2010

1. PENDAHULUAN
Banci 2010 merupakan banci kelima dijalankan bagi Malaysia. Banci terdahulu telah dijalankan pada tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Banci 2010 merupakan projek statistik yang besar telah dijalankan bagi menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara.
Maklumat yang diperoleh daripada banci ini adalah pelbagai dan komprehensif. Justeru itu, ia mengambil masa yang panjang dan penelitian yang rapi untuk memproses data muktamad demi menjamin kualitinya. Maka, untuk mendapat gambaran ringkas mengenai bilangan penduduk Malaysia pada tahun 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Laporan Kiraan Permulaan 2010.

2. RINGKASAN PENEMUAN
Laporan Kiraan Permulaan Banci 2010 mengandungi maklumat awalan bilangan penduduk, isi rumah dan tempat kediaman bagi Malaysia mengikut negeri dan daerah pentadbiran.
Laporan kiraan permulaan ini menunjukkan bahawa jumlah penduduk di Malaysia adalah seramai 27,565,821 orang iaitu terdiri daripada 14,112,667 lelaki dan 13,453,154 perempuan. Purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000–2010 ialah 2.17%. Semasa tempoh pembancian, terdapat 6,396,174 isi rumah dan 7,380,865 tempat kediaman di seluruh Malaysia.

3. KADAR PERTUMBUHAN PENDUDUK
Purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan di seluruh Malaysia telah menurun kepada 2.17% dalam tempoh 2000–2010 berbanding dengan 2.60% bagi 1991-2000 dan 2.64% bagi 1980-1991.

4. TABURAN NEGERI
Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia iaitu seramai 5,411,324 orang; 19.63 peratus daripada jumlah penduduk negara. Negeri yang mengalami pertumbuhan penduduk yang paling pesat bagi tempoh 2000–2010 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (17.77%), diikuti oleh Selangor (3.17%). Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Sarawak dan Pahang didapati mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang semakin menurun dalam tempoh 1980–2010. Antara negeri lain yang juga mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang menurun adalah Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu. Melaka mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat sejak tahun 1980 sehingga 2010.


5. NISBAH JANTINA
Nisbah jantina bagi Malaysia pada keseluruhannya menunjukkan terdapat 105 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Antara negeri yang menunjukkan trend nisbah jantina yang lebih tinggi daripada nisbah nasional ialah Johor (112), Pahang (111), Negeri Sembilan (107) dan Sabah (106). Sementara itu, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan nisbah jantina yang terendah iaitu 88 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

6. PURATA SAIZ ISI RUMAH
Purata saiz isi rumah pada Banci 2010 menunjukkan trend yang semakin mengecil; dengan bilangan purata sebanyak 4.31 berbanding dengan 4.62 pada Banci 2000. Sabah, Kelantan dan Terengganu merekodkan saiz isi rumah yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain; masing-masing mencatatkan purata 5.88, 4.86 dan 4.78.

Nota:
(a) Angka bagi tahun 1980, 1991 dan 2000 tidak disesuaikan berasaskan kadar kurang penghitungan. Selepas penyesuaian kurang penghitungan, jumlah penduduk Malaysia adalah 13,745,241 orang pada 1980; 18,379,655 orang pada 1991; dan 23,274,690 orang pada 2000.
(b) Data bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada negeri Selangor.
(c) Nisbah jantina ialah bilangan lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Laporan ini boleh diperoleh daripada laman web Jabatan Perangkaan Malaysia (www.statistics.gov.my).

No comments: